‘Muhyiddin perlu kembali kepada UMNO’

KLANG – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu kembali menyertai UMNO bagi memastikan kestabilan politik negara, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata, beliau dan ramai pemimpin UMNO yang lain mahu Muhyiddin menyertai parti itu semula dan akan terus menyokong beliau menjadi Perdana Menteri sekali gus melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat Malaysia seperti komitmen ditunjukkannya sekarang.

“Kita mahu dia balik kerana dia pun bekas pemimpin UMNO, kalau boleh baliklah.

“Ia ibarat sirih pulang ke gagang dan kita bagi jaminan, dia masuk kita sokong (jadi Perdana Menteri). Selepas beliau nanti, mana-mana pemimpin dalam UMNO yang sesuai boleh ambil alih dan kita akan sokong mereka pula,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat ke fasiliti syarikat tempatan yang bertanggungjawab membekalkan set tren LRT kepada Prasarana, Hartasuma, di sini, hari ini.

Katanya, Muhyiddin sendiri sebelum ini pernah memberitahunya bahawa beliau bukan selama-lamanya mahu menjadi Perdana Menteri.

sumber: SH

“Muhyiddin kata selepas beliau, sesiapa sahaja dalam UMNO boleh ambil-alih (jadi Perdana Menteri).

“Saya juga nak beritahu semua agar tidak takut atau bimbang untuk sertai UMNO, masuk dahulu tapi jika dah masuk, terpulang kepada ahli-ahli parti untuk tentukan kepimpinan seseorang itu. Tapi untuk Muhyiddin, beliau masuk kita jamin akan sokong untuk terus jadi Perdana Menteri,” katanya.