Muhyiddin bidas Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan kononnya kerajaan enggan memberi ruang kepada Ahli Parlimen membahaskan usul berkaitan inisiatif dan perbelanjaan kerajaan dalam menangani impak COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, segala inisiatif perlu dilakukan sekarang dan rakyat tidak boleh menunggu terlalu lama untuk menerima bantuan.

“Permasalahan besar yang kita hadapi ialah soal untuk mengurus dan menangani masalah COVID-19. Rakyat seluruh negara tahu, dalam situasi yang amat sukar dan sulit ini, kerajaan tidak ada pilihan.

“Malahan saya sendiri berpendapat, tindakan-tindakan segera mesti diambil walaupun sebelum sesi Parlimen bermula.

“Hari ini, walaupun perkara itu belum dibentangkan, InsyaAllah Menteri Kewangan akan bentangkan dalam sesi ini juga, segala perkara yang terperinci,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) yang menyifatkan kerajaan gagal membuka ruang kepada Ahli-ahli Parlimen membahaskan usul berkaitan impak COVID-19 serta inisiatif yang dilakukan.

Muhyiddin yang membidas kenyataan Ketua Pembangkang itu turut menegaskan kerajaan tidak ada pilihan kecuali mengutamakan kelangsungan hidup rakyat.

“Ada berpuluh-puluh inisiatif yang terpaksa kita laksanakan, kerana di luar sana rakyat menunggu.

sumber: awani

“Dia (rakyat) tidak boleh menunggu sesi Parlimen ini. Dia nak sekarang, bantuan disampaikan sekarang. Mereka hadapi kesukaran sekarang, industri-industri sudah runtuh sekarang, perniagaan-perniagaan tidak boleh dilaksanakan sekarang.

“Kalau nak tunggu hari ini, saya faham, sebagai tugas Ahli Parlimen, itu tanggungjawab (membahaskan masalah rakyat), tetapi tugas kerajaan adalah menentukan rakyat mesti dibela, pembelaan itu mesti dilaksanakan,” tegas Muhyiddin.