MFL pantau lima pasukan

Sekurang-kurangnya lima daripada 20 pasukan yang bertanding berada dalam pemantauan pihak Malaysian Football League (MFL) dan diarahkan mencari sumber kewangan tambahan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2020.

Tindakan ini dibuat oleh badan pengendali liga itu selepas meneliti kesemua pelan perbelanjaan dan pendapatan setiap pasukan yang bertanding dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.

Ia bagi mematuhi Economic Control Programme (ECP) yang mula dilaksanakan oleh MFL bermula 15 disember lalu bagi memantapkan kewangan pasukan-pasukan bola sepak tempatan.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan lima pasukan berkenaan sudah dimaklumkan untuk merancang perbelanjaan pasukan lebih baik dan mencari jalan untuk menambah sumber kewangan sedia ada bagi mengelakkan sebarang masalah timbul musim ini. 

Selain lima pasukan berkenaan, pasukan lain yang tidak diletakkan dalam zon pemantauan juga perlu melampirkan semua dokumen berkaitan kontrak penajaan dan sumbangan modal bagi mengesahkan pelan perbelanjaan dan pendapatan musim 2020 sebelum 15 Mac ini. 

”Bagi tahun pertama pengenalan ECP, semua pasukan memberikan kerjasama baik terhadap prosedur ECP dengan mengemukakan pelan perbelanjaan dan pendapatan pasukan masing-masing. 

“Seterusnya semua pasukan diwajibkan mengemukakan kontrak-kontrak penajaan dan sumbangan modal sebagai bukti sumber pendapatan mereka sehingga 15 Mac ini dan MFL sentiasa bersedia untuk membantu semua pasukan dalam menyelesaikan urusan ECP ini. 

“Jika pasukan berkenaan masih gagal untuk menghantar dokumen pada masa yang ditetapkan, MFL akan membawa kes berkenaan ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah untuk tindakan seterusnya. 

“Seperti saya katakan sebelum ini, ECP mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah kewangan dalam tempoh segera tetapi sekurang-kurangnya buat permulaan ia mampu mengurangkan masalah kewangan pasukan tempatan. 

“Kalau kita lihat ECP yang dipraktikkan di LaLiga Sepanyol juga mengambil masa sehingga lima tahun untuk menyelesaikan segala hutang pasukan dan kita berharap untuk mendapat perkembangan positif dalam beberapa tahun akan datang,” ujarnya. 

Pihak MFL bagaimanapun memberikan sedikit pengecualian kepada Sarawak United FC memandangkan pasukan berkenaan baru selesai proses pemilikan daripada Selangor United. 

Kelab Liga Premier itu diberikan tempoh masa untuk menyelesaikan urusan pendaftaran serta melengkapkan prosedur awal ECP itu pada 31 Januari ini.