MFL Mohon Semula

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan memohon semula kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan sebilangan penyokong memasuki stadium untuk aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ia susulan kebenaran yang diberikan kerajaan untuk sebilangan kecil penonton dibenarkan ke stadium tidak lagi terpakai bagi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata perlawanan awal saingan Liga M musim ini yang dijadual bermula 5 Mac ini akan berlangsung tanpa penonton.

“Kalau ikutkan itu (kebenaran penyokong ke stadium) adalah SOP untuk PKP yang sebelum ini, tapi untuk PKP terbaharu ini tiada lagi klausa itu.Disyorkan Untuk Anda

“Jadi kita akan mohon semula. Kita akan tengok dulu selepas beberapa perlawanan sebelum kita masukkan semula permohonan itu untuk dipertimbangkan (oleh kerajaan).

“Namun permohonan itu juga bergantung kepada indeks harian kes C0VID-19 dan keadaan PKP serta PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di negara kita,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Pada Disember lalu, kerajaan meluluskan permohonan MFL dengan 10 peratus dari kapasiti stadium atau maksimum 4,000 penonton dibenarkan ke stadium untuk aksi Liga M bermula tahun ini.

Bagaimanapun, situasi C0VID-19 di negara ini yang semakin meningkat menyaksikan kerajaan terpaksa melakukan semula PKP bagi mengurangkan kes jangkitan wabak itu.

Namun, apa yang positif daripada PKP kali ini apabila semua pasukan Liga M dibenarkan menjalani latihan secara berpusat dan mengadakan aksi persahabatan sebagai persiapan menghadapi musim ini.