‘Messi Kedah’ kembali menjadi sebutan

ALOR SETAR: Pemain sayap lincah Farhan Roslan atau dikenali ‘Messi Kedah’ kembali menjadi sebutan penyokong skuad Lang Merah susulan prestasi cemerlangnya ketika melawan Terengganu FC (TFC), kelmarin.

Pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman itu, pemain berusia 22 tahun yang kini memakai jersi nombor 29 turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan bagi aksi berkenaan yang dimenangi Kedah 3-0.

Persatuan Bolasepak Kedah menerusi satu kenyataan dalam laman web rasminya memuji kebangkitan prestasi yang ditampilkan Farhan.

“Kebangkitan daripada Farhan tidak mudah selepas dia melalui proses pemulihan di awal musim.

“Dia sudah beberapa kali diberi peluang sebagai pemain simpanan termasuk beraksi dalam kesebelasan utama sejak dua perlawanan lalu di mana dia berjaya menggunakan peluang itu dengan  sebaiknya bagi memperagakan aksi cemerlang.”

“Pada perlawanan ini (menentang TFC) dia berjaya memainkan peranan penting dalam membuat hantaran untuk menghasilkan tiga gol perlawanan iaitu melalui gerakan yang menghasilkan sepakan penalti dan diikuti dua lagi hantaran membuka ruang untuk rakannya Zaquan Adha dan Fernando Rodriguez menjaringkan gol.”

Sementara itu, beberapa kelab penyokong pasukan Kedah turut teruja dengan kebangkitan yang ditunjukkan ‘Messi Kedah’ itu yang disifatkan tepat pada masanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *