Menjadi Kegemaran Ketua Jurulatih Pasukan Kedah

ALOR SETAR: Susu kurma menjadi kegemaran ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak bagi mengekalkan tahap kecergasan setiap hari di rumah sepanjang Ramadan ini.

“Susu kurma sudah menjadi satu kemestian buat saya. Bukan hanya pada bulan puasa tetapi juga pada hari-hari biasa bagi mengekalkan kecergasan sepanjang melaksanakan tugasan berkaitan kejurulatihan,” katanya.

Meminum susu kurma menjadi amalan Aidil sejak sekian lama disamping kuih kesukaan ramai iaitu epok epok atau karipap yang menjadi hidangan dinantikannya ketika berbuka puasa.

“Bagi kuih pula, saya menggemari epok epok yang dibuat oleh isteri saya ketika berbuka. Kuih ini mudah didapati di Singapura dan di negara ini. Selain makanan tempatan, saya juga gemar menikmati makanan barat seperi ‘fish and chip’,” katanya.

Aidil yang kini bersama keluarganya di Bukit Batok, Singapura selepas Liga Malaysia dihentikan seketika sejak Mac lalu berkata, perkembangan pandemik COVID-19 yang kian terkawal di Malaysia buat masa ini adalah satu petanda positif.

Katanya, apabila setiap kali selesai meneliti dan memantau perkembangan pasukan Kedah melalui secara dalam talian, beliau menggunakan waktu terluang untuk membaca buku dan menonton video perlawanan bola sepak bagi tujuan meningkatkan pengetahuan dalam bidang kejurulatihan.

“Saya sangat merindui suasana di Kedah dan rasa sudah tidak sabar mahu kembali meneruskan suasana latihan bersama pasukan dan barisan kejurulatihan skuad Lang Merah di Alor Setar nanti.

“Saya berdoa agar wabak COVID-19 ini segera berakhir dan industri bola sepak khusunya di Malaysia dapat bermula kembali dengan lebih cepat,” katanya.