Mengubah Segala-Galanya Buat JDT

Percubaan Bergson da Silva yang terkena tiang pada minit kelapan jelas mengubah segala-galanya buat Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia, sebentar tadi.

Pengendalinya, Benjamin Mora menyifatkan mereka tidak memiliki tuah apabila percubaan terbabit digagalkan tiang gol dan perlawanan akhirnya menjadi milik KL City.

“Perlawanan seimbang tetapi kita tidak menang dan tidak dapat menjaringkan gol. Tahniah kepada KL City FC.

“Kita cuba memecahkan pertahanan KL City pada babak pertama tetapi kita tidak dapat berbuat demikian. Percubaan kita terkena tiang dan selepas itu perlawanan berpihak kepada KL City FC,” kata Mora.

Terdahulu, impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengekalkan trofi Piala Malaysia di bumi Selatan berkecai apabila dikejutkan KL City 2-0 pada aksi final Piala Malaysia ke-100 tahun di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Turun sebagai pasukan pilihan, skuad Harimau Selatan bagaimanapun terpaksa akur apabila dua jaringan pada babak kedua menerusi Zhafri Yahya dan Paulo Josue menjulang KL City pada aksi kemuncak itu.

Kemenangan itu membolehkan skuad ‘Warga Kota’ mengucapkan selamat tinggal kepada penantian 32 tahun untuk memenangi piala keagungan itu yang juga gelaran keempat mereka selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

sumber : BH

Lebih manis, bukan setakat mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka juga meraih tiket ke Piala AFC musim depan.