memberi kejutan yang kita tidak jangka

Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak menganggap lawan mereka, pasukan Kuching FA mampu menjadi duri dalam daging pada aksi pusingan pertama TM Piala Malaysia, malam ini.

Ini kerana, JDT belum pernah berdepan Kuching FA yang beraksi dalam saingan Liga Premier pada musim ini dan ia sedikit sebanyak menyukarkan mereka untuk membaca corak perlawanan skuad kendalian Akira Higashiyama ini.

Malah, Aidil turut menyifatkan pasukan itu pastinya mempunyai kekuatan tersendiri yang mungkin tidak dijangka dan dia tidak merasakan JDT berada di laluan mudah kerana sebagai pemain, mereka tidak pernah memandang rendah terhadap keupayaan lawan.

“Undian sudah pun dibuat dan kalau kita tengok pencapaian di atas kertas, memang nampak laluan mudah untuk JDT, tetapi dalam bola sepak, kami tidak boleh pandang rendah kepada mana-mana pasukan sekarang.

“Bagi saya, semua pasukan ada kekuatan masing-masing, dan saya rasa ia juga mencabar untuk JDT kerana kami tidak tahu apa kelemahan dan kekuatan pasukan Kuching FA sebab kita tidak pernah bertemu dalam saingan liga.

“Jadi tidak mustahil, Kuching FA boleh memberi kejutan yang kita tidak jangka, dan apa-apa pun, kami tidak boleh leka dan perlu memberikan sepenuh komitmen untuk memburu kemenangan, malam ini.

“Dengan kualiti pemain yang kita ada ketika ini, kita harus bekerja keras untuk cuba mengekalkan trofi Piala Malaysia pada musim ini.”