Matthew Davies Sudah Ada Pengganti

Sejak berada dalam bolasepak peringkat akar umbi lagi, S Kumaahran sering dianggap sebagai permata peny3rang masa depan negara.

Ini termasuk ketika beliau mewakili Harimau Muda, Pulau Pinang dan kemudiannya bersama JDTII.

Malah, beliau sendiri membuat penampilan bersama skuad B-23 dan skuad kebangsaan di posisi serangan.

Namun, sejak dipinjamkan dari JDT ke Pahang musim ini, Kumaahran beraksi di bahagian pertahanan kanan, posisi yang ditinggalkan oleh Matthew Davies selepas kapten pasukan itu menyertai JDT.

Ia satu kejutan buat pemain berusia 24 tahun itu, namun hasil daripada pertukaran posisi itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh sentiasa memilih Kumaahran dalam kesebelasan utama pasukan.

“Pada mulanya saya tidak percaya jurulatih mahu mengubah posisi selaku peny3rang kepada pertahanan kerana saya tidak pernah bermain di posisi itu,” katanya kepada BH Sukan.

“Tapi sebagai pemain, saya akan cuba yang terbaik dan tidak sangka mampu bermain di posisi itu. Saya sedar ianya satu tugas besar memandangkan saya mengambil posisi yang ditinggalkan oleh Matthew Davies yang juga bekas kapten Pahang.

“Bagaimanapun, saya gembira apabila berjaya menjalankan tanggungjawab yang diberikan selepas mengharungi empat perlawanan Liga Super.”

Pahang tidak bermula dengan baik pada musim ini apabila tewas 2-1 kepada Selangor dan 3-2 kepada PJ City.

Namun pasukan itu kemudian bangkit dengan kemenangan 1-0 ke atas Melaka dan 2-0 ke atas Sabah.

Pahang kini berada di tangga ketiga liga dengan enam mata, di belakang JDT dan Perak.