Mat Don tak balik lagi

MELAKA United belum berasa cemas walaupun Liridon Krasniqi atau lebih mesra disapa Mat Don menangguhkan kepulangannya ke negeri itu kerana masih menjalani rawatan pemulihan susulan kecederaan paha.

Pemain import dari Kosovo itu sepatutnya balik semalam dan dijangka beraksi menentang bekas pasukannya Kedah di Stadium Hang Jebat, Ahad ini.

Pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi berkata, Krasniqi memaklumkan kepada jurulatih mengenai berita itu namun tidak menyatakan tarikh tepat bila dia akan kembali dari Jerman.

“Apa pun kami masih sabar menanti. Bila itu tidak pasti. Apa pun kami belum cemas dengan berita ini dan mengharapkan pemain lain mampu terus memberi persembahan terbaik dalam memenuhi misi perjuangan mengatasi Helang Merah.

“Sememangnya kami agak merasai ketiadaannya sejak empat perlawanan lalu hingga prestasi pasukan kelihatan merudum seolah-olah khidmatnya terlalu diperlukan,” katanya.

Namun, Yusoff mengakui tetap cemas dengan prestasi pasukan Hang Tuah kebelakangan ini selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *