Masih Boleh Diselamatkan

Jurulatih Selangor, B. Sathianathan percaya Liga Malaysia musim ini masih boleh diselamatkan meskipun kerajaan enggan membenarkan sebarang bentuk aktiviti sukan terutamanya untuk golongan ahli sukan profesional walaupun hanya untuk berlatih.

Namun, Sathia menganggap tempoh larangan berhimpun boleh ditarik balik pada bila-bila masa dan hanya berharap Liga Malaysia dapat disambung semula.

“Apa yang saya dengar, larangan itu tiada tempoh, contohnya larangan tidak boleh berhimpun selama tiga bulan, enam bulan ataupun setahun selepas PKP tamat,” katanya kepada BH Sukan.

“Kecuali kalau larangan perhimpunan itu sudah ditetapkan selama enam bulan atau setahun contohnya, bolehlah kita mula melakukan perancangan untuk masa depan khususnya membabitkan soal kontrak pemain dan sebagainya.

“Kita menghormati keputusan kerajaan mengenai perkara ini tetapi saya melihat belum masanya lagi untuk kita berfikir mengenai pembatalan liga. Sekurang-kurangnya, kita cuba habiskan baki perlawanan liga dahulu.”