Malaysia jadi ‘lauk’ Thailand

KUALA LUMPUR 15 Mei – Malaysia menerima pengajaran terbesar pada Kejuaraan AFF Bawah 15 (B-15) Perempuan apabila dibelasah 11-0 oleh juara dua kali, Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan B di Chonburi, Thailand hari ini.

Biarpun mula menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua ketika menewaskan Kemboja 2-1, Sabtu lalu, namun jurang prestasi antara anak-anak buah Mohd. Zerry Nazeri dan Thailand nyata terlalu besar.

Kekalahan di Stadium Institut Pendidikan Fizikal itu sekali gus menyingkirkan skuad muda negara daripada persaingan, meskipun masih mempunyai baki satu perlawanan untuk diharungi iaitu menentang Singapura, Jumaat ini.

Thailand yang memburu kejuaraan hatrik selepas muncul juara 2018 dan 2017 tidak langsung memberi peluang kepada pasukan negara apabila mendahului 2-0 hanya selepas tiga minit permainan bermula.

Gol pembukaan tuan rumah hadir beberapa saat selepas wisel perlawanan ditiupkan menerusi Phinyada Phathakor, sebelum Nualanong Muensri menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ketiga.

Phinyada sekali lagi menghukum anak-anak buah Zerry dengan meledak gol ketiga Thailand pada minit ke-12 dan Thawanrat Promthongmee memastikan pasukannya mendahului selesa 4-0 pada babak pertama menerusi jaringan di minit ke-32.

Memasuki separuh masa kedua, Thailand terus garang dengan menambah gol kelima, beberapa saat selepas permainan bersambung menerusi Thanatphat Bungthong.

Enam lagi jaringan tuan rumah kemudian dihasilkan oleh Thanchanok Jansri (minit ke-57), Chattaya Pratumkul (63, 69), Saranya Lamee (70), Bungthong (72) dan Yadaporn Meelun, sembilan minit sebelum tamat permainan.

“Malaysia cuba menyusun permainan dan sesekali mengatur serangan, tetapi keazaman kami untuk mengawal perlawanan membezakan kedua-dua pasukan,” kata Ketua Jurulatih Thailand, Naruephon Kaenson yang dipetik dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Thailand dan Laos sudah mengesahkan tiket ke separuh akhir dengan mengutip sembilan mata maksikan. Kedua-dua pasukan akan berentap, Jumaat ini ini untuk menentukan juara Kumpulan B.

Malaysia yang kalah 0-4 kepada Laos dalam aksi pembukaan 9 Mei lalu menghuni tangga keempat liga dengan tiga mata, berkongsi mata bersama Singapura.

Biarpun kekalahan Malaysia nampak amat besar, namun ia bukanlah rekod terburuk kejohanan. Kekalahan yang dialami Timor Leste dalam Kumpulan A sebelum ini lebih menakutkan apabila dibelasah 26-0 oleh Myanmar, Ahad lalu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *