Makan Konate Kembali Ke Liga Malaysia

Terengganu FC melengkapkan kuota pemain import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021 apabila menandatangani Makan Konate.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi satu video di laman media sosial rasmi pasukan dimana Konate kembali ke Liga Malaysia setelah kali terakhir beraksi bersama T-Team pada 2016 lalu.

Bersama T-Team atau yang kini dikenali dengan nama Terengganu FC II, Konate menampilkan prestasi memberangsangkan dimana beliau menjaringkan 8 gol dalam 32 penampilan pada 2016 lalu.

Selain itu, Konate berjaya membantu T-Team yang dibimbing Rahmad Darmawan menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-7 selain melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia.

Namun, T-Team gagal untuk mara ke perlawanan akhir apabila tewas kepada Selangor dengan keputusan agregat 5-1.

Empat lagi pemain import Terengganu bagi menghadapi saingan musim 2021 ialah David Da Silva, Carli de Murga, Petrus Shitembi dan Christopher Herd.