Main macam ‘budak tadika’

Kegagalan Selangor meneruskan kemaraan dalam saingan Piala FA 2019 setelah disingkirkan Felda United di pusingan ketiga pada Selasa, membuatkan jurulatihnya B.Sathianathan ‘naik angin’.

Selangor tidak dapat menterjemahkan kualiti permainan sama yang membawa mereka ke final musim lalu dan pengendali itu tidak sedikitpun berselindung, menyatakan kekecewaannya kepada permainan ditunjukkan pasukannya yang disifatkan seperti budak tadika.

“Kita macam budak tadika, saya betul-betul kecewa, bukan dengan seorang tetapi dengan ramai pemain. Saya sudah ingatkan berulang kali, dia (Felda) akan serang balas menerusi Hadin (Azman) sepertimana kita kena masa seri 1-1 dalam liga.

“Saya tak boleh terima dia (Hadin) tewaskan tiga pemain dan skor gol, serius tak boleh terima sebab bukan saja saya, tapi pengurus dan barisan kejurulatihan lain pun dah banyak kali cakap, kita tak belajar dari kesilapan dulu.

“Gol Thiago (Junior) itu pun sama, saya dah beritahu Anwar (Ibrahim) mempunyai kelebihan membuat lontaran jauh, tetapi mereka tetap leka. Banyak nak bermain secara individu, ada peluang nak hantar bola (kepada rakan) tetapi masih mahu gelecek, boleh bawa bola ke tepi tapi masih nak masuk ke tengah.

“Hantar bola ke dalam kotak penalti tapi entah kepada siapa, kita kawal permainan, mereka hanya buat satu percubaan tetapi bila dah main macam ini, rasa diri tu dah ‘star’, tak nak kejar bola, tak bagi komitmen penuh, dia bawa bola pun tak nak cuba ‘tackle’ sampaikan dia boleh makan tiga orang senang-senang.

“Hakikatnya pemain terlalu mengambil mudah permainan ini, ingat ini team yang senang makan, dan kita terima padah. Ini adalah penyakit mentaliti, Felda berhak untuk menang dengan taktikal, kesungguhan, fokus, semangat dan segala-gala yang mereka tunjukkan. Kita ambil mudah, dan tidak bermain pada tahap yang sepatutnya kita bermain,” kata Sathianathan.

Dalam aksi di Stadium Shah Alam itu, Selangor mendahului pada minit ke-55 menerusi Syahmi Safari tetapi skuad Nidzam Jamil menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi Thiago Junior yang menanduk masuk lontaran ke dalam Anwar Ibrahim.

Ketika perlawanan berbaki dua minit dan seakan menuju ke masa tambahan, pemain kebangsaan Hadin Azman melakukan larian solo dari tengah padang, memperdayakan tiga pemain Selangor sebelum merembat masuk menewaskan Farizal Harun di gawang Red Giants seterusnya membawa The Fighters ke suku akhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *