Macam berpe rang

“MACAM berp3rang”, kata salah seorang penyokong skuad Harimau Malaya, Muhammad Jailani Ahmad Zawawi apabila dia bersama 400 penyokong negara dibaling batu oleh penyokong Indonesia sebaik tiba di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sebenar tadi.

Jailani, 30, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta pagi tadi terpaksa menghadapi detik cemas di depan pintu 5 stadium sebaik turun daripada bas yang membawa penyokong negara itu.

Katanya, pada awal perjalanan dari lapangan terbang semuanya nampak baik dengan pihak berkuasa Indonesia mengiringi perjalanan enam buah bas ke gelanggang keramat berkenaan.

Namun segala-galanya berubah sebaik tiba di perkarangan stadium di mana penyokong tuan rumah mula melontarkan kata-kata kesat dan mengejar bas penyokong hingga ke pintu gerbang B stadium.

“Penyokong Indonesia mula bertindak agresif bila nampak bas kami diiringi pihak polis dan mereka tiba-tiba menjerit, menunjukkan isyarat lucah, menyanyikan chant dengan lagu Malaysia itu anjing dan macam-macam lagi.

“Tapi saat paling saya menakutkan apabila mereka (penyokong Indonesia) mula membaling batu ke arah kami sebaik turun dari bas untuk masuk ke pintu 5.

“Kami terpaksa berlari ke arah pintu 5 dan ada seorang penyokong kita yang terkena batu di bahagian pipi. Tapi tak terlalu serius cuma cedera ringan saja,” katanya kepada Arena Metro ketika ditemui.

Insiden itu bukanlah sesuatu yang baharu buat penyokong mahupun pemain negara kerana situasi berkenaan pernah diharungi sebelum ini.

Paling diingati tentunya insiden pada 2010, apabila pasukan Malaysia terpaksa menaiki barracuda ke Stadium Bung Karno, begitu juga ketika pulang ke hotel penginapan selepas dikepung penyokong tuan rumah dan dibaling objek keras ketika beraksi pada final Piala AFF.

Pada Sukan SEA 2011, situasi sama berlaku apabila pasukan negara sekali lagi dibawa menaiki barracuda selepas berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

Tahun lalu, pemain muda negara pula dibaling botol serta objek keras oleh peminat Indonesia yang tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka dalam separuh akhir Piala AFF Bawah 19 tahun di Jawa Timur.

Tinjauan mendapati, beberapa buah kereta perisai barracuda sudah mula kelihatan di sekitar perkarangan stadium dengan dibantu puluhan ribu pihak polis dan tentera Indonesia.

Skuad Harimau Malaya dijadual menentang skuad Garuda dalam kempen Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia malam ini sebelum kembali ke tanah air berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa ini.

Selain Indonesia dan UAE, skuad negara turut dicabar oleh dua lagi pasukan serantau iaitu Vietnam dan Thailand.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *