Maaf MU, saya tak sengaja

MELAKA: Pertahanan Melaka United (MU), Ahmad Khuzaimi Piee memohon maaf kepada penyokong pasukan Hang Tuah selepas jaringannya sendiri menyebabkan skuad itu tewas 0-1 kepada PKNP FC, kelmarin.

Menurutnya, kesilapan tertampan bola ke jaring sendiri bukan disengajakan ketika fokusnya terarah mempertahankan kubu daripada dibolosi jaringan pihak lawan.

Katanya, ia amat memilukan malah mengecewakan dirinya sendiri terutama ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan sepanjang babak pertama sehingga minit ke-65 perlawanan.

Malah, harapan tinggi pengikut setia untuk skuad Hang Tuah meraih kemenangan selepas kekalahan kepada Selangor jelas seperti berjaya direalisasi jika bukan kerana jaringan terbabit.

Beliau berkata, dia memohon maaf kepada semua termasuk rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong atas kesilapan terbabit.

Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu, gol tunggal perlawanan diperoleh tuan rumah selepas Ahmad Khuzaimi tertampan hantaran lintang bekas pemain MU, Yashir Pinto pada minit ke-66 perlawanan.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan PKNP mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super, manakala skuad MU sebaliknya mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut.

“Teruk saya dihentam peminat atas jaringan terbabit sampai demam. Macam-macam yang keluar daripada luahan mereka. Namun, masih ada yang tetap memberikan kata semangat.

“Apapun saya tetap kental dan ikhlas berjuang untuk pasukan. Kesilapan itu tidak disengajakan sama sekali. Saya harap peminat terima luahan kemaafan saya,” katanya.

Bekas pemain PKNP dan PKNS itu berkata, gol sendiri berkenaan adalah jaringan pertama buatnya sepanjang kerjaya bola sepaknya dan sememangnya tidak diduga sama sekali.

Justeru, dia berjanji untuk lebih berhati-hati dan menjadikan situasi berkenaan satu pengajaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *