Luqman Hakim Terima ‘Lampu Hijau’

Pemain muda harapan negara, Luqman Hakim dikatakan sudah menerima pengesahan dari kelab KV Kortrijk untuk menyertai kelab itu seawal minggu hadapan selepas banyak kali tertunda.

Berdasarkan maklumat, KV Kortrijk akan memulakan latihan pada 16 Jun 2020 dan saingan liga bola sepak Belgium dijangka akan membuka kembali aksi sekitar bulan Ogos nanti.

Luqman Hakim yang kini bersama pasukan Selangor, dilihat perlu mendapatkan kebenaran atau kelulusan dari pihak-pihak seperti Imigresen dan sebagainya untuk berlepas ke Belgium.

Mengikut sebuah laman Twitter Pemain Ke-12, kini semuanya terserah kepada Luqman Hakim, Selangor dan ejen beliau yang berpangkalan di London untuk mengatur segalanya kerana tawaran dari KV Kortrijk masih kekal sama seperti sebelum ini.

Diharapkan semuanya akan berjalan dengan lancar dan semua pihak dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membolehkan Luqman Hakim bersama KV Kortrijk membina karier disana.