Langkah Terbaik Demi Menyelamatkan Karier Pemain

KUALA TERENGGANU: “Langkah terbaik demi menyelamatkan karier pemain dan semua yang terbabit dalam sukan nombor satu ini,”

Ini reaksi pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Mohd Faudzi yang pernah berguru selama tiga bulan dalam Liga Perdana Queensland Australia pada 2014 susulan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bakal meniupkan kembali ‘wisel’ Liga Malaysia (Liga M) bermula 1 September 2020.

“Cadangan MFL menyambung kembali saingan Liga Super dan Liga Perdana secara separuh liga itu langkah terbaik dan tepat demi menyelamatkan karier dan sumber pendapatan kami.

“Sebagai pemain kita perlu ikut apa yang diumumkan pihak berkenaan termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

“Dalam masa sama, ia memberi ruang kepada pemain dan pasukan kembali bersaing dengan melakukan persediaan yang rapi sebelum ke gelanggang menghadapi liga,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah pembatalan Piala FA merugikan pasukan, Muhammad akui badan induk itu sudah memperhalusi sedalam-dalamnya situasi terkini yang memerlukan sesuatu kejohanan perlu ditamatkan seberapa segera.

“Begitu juga dengan Liga Super dan Liga Perdana perlu dihabiskan dengan segera bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, sebab itu liga hanya dilangsungkan hanya pusingan pertama sahaja.”

Mengenai kecergasan, Muhammad akui pemain tidak berdepan masalah kerana mereka juga tetap melakukan senaman di rumah walaupun liga terpaksa ditangguhkan bermula 16 Mac lalu.