Langkah Kebelakang

KUALA LUMPUR: Pemerhati bola sepak tempatan, Serbegeth Singh menganggap tiada yang istimewa mampu dibawa Mohamadou Sumareh ke skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) sekiranya pemain kebangsaan itu menyertai Harimau Selatan.

Serbegeth atau Shebby menegaskan pemain naturalisasi pertama negara itu hanya mempunyai tahap yang setaraf dengan pemain tempatan yang sudah dimiliki JDT ketika ini.

Justeru, beliau berkata JDT seeloknya memikirkan langkah lebih ke depan dengan mendapatkan pemain import yang setanding atau lebih bagus daripada Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera bagi meningkatkan lagi tahap persembahan.

“Benda ini memang menjadi kebiasaan setiap pasukan mencari pemain tempatan terbaik dan kalau dari aspek perpindahan, tidak menghairankan sebab kita lihat Matthew Davies pun sudah beraksi dengan JDT. Setiap pemain tempatan juga bercita-cita menyertai pasukan terbaik.

“Namun, dari aspek teknikal, adakah Sumareh akan membawa sesuatu yang istimewa kepada JDT? Tidak. Pada pendapat saya, tahap dia lebih kurang pemain tempatan sahaja, bagi JDT ia bukan langkah ke depan, jadi tiada yang istimewa JDT akan dapat sekiranya ambil dia.

“Kalau JDT ingin beraksi atau mempersembahkan tahap bola sepak lebih tinggi, mereka harus mencari pemain yang lebih baik dari yang baik. Macam Diogo, Cabrera, itu tahap tinggi, kita lihat Safawi Rasid sudah meningkatkan tahap persembahannya,” katanya kepada BH Sukan.

Shebby mengulas perkara itu susulan terdapat spekulasi bahawa Sumareh atau lebih mesra dengan panggilan ‘Keli Boy’ mungkin akan menjadi pemain kebangsaan seterusnya menyarung jersi Harimau Selatan.

Namun, beliau yang juga bekas pemain kebangsaan turut menjelaskan tiada halangan untuk Sumareh menyertai Harimau Selatan sekiranya mendapat tawaran rasmi dari kelab itu.

“Kalau dia dapat tawaran dari JDT, pergilah. Tapi untuk JDT, sekiranya mereka inginkan seorang pemain yang beraksi di tahap tertinggi, Sumareh bukan (pemain) yang memiliki kriteria itu dan Safawi lebih baik daripada dia.

sumber : BH

“Bagi Sumareh kita tidak boleh anggap sebagai pemain tempatan, tahap dia harus dinilai sebagai pemain import. Namun dia tiada tahap pemain import dan kalau dilihat dari segi pemain tempatan, dia baguslah.

“Apa beza Akhyar (Rashid) dengan Sumareh? Tiada perbezaan. Jadi JDT kalau nak maju kena cari pemain yang bertahap pemain import,” katanya.