Keputusan Liga Super

HASRAT Selangor untuk melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super tidak kesampaian apabila diikat Melaka United 1-1 di Stadium Mini UiTM, Shah Alam, sebentar tadi.

Skuad Merah Kuning yang berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sabah 2-1 minggu lalu sekali lagi terpaksa melalui skrip sama apabila ketinggalan sebelum bangkit mengikat kedudukan.

Keputusan itu mungkin sedikit melegakan skuad kendalian B Sathianathan dengan meraih satu mata di mana baki empat aksi liga harus dimanfaatkan sebaiknya untuk mencabar kedudukan di tangga kedua liga.

Buat kem Melaka United pula, rekod baik selepas melakar dua kemenangan 1-0 ke atas Perak dan Terengganu FC sebelum ini terhenti di Shah Alam.

Pelawat yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan terlebih dulu berada di depan menerusi sepakan leret tonggak import, Uche Agba yang memanfaatkan lontaran ke dalam pada minit ke-39.

Bagaimanapun, gol itu berjaya dipadamkan oleh pemain tuan rumah seminit kemudian berpunca daripada hantaran lintang K Prabakaran yang tepat menuju Ifedayo Olusegun sebelum dia menolak mudah kepada Sandro Da Silva yang datang daripada belakang untuk mudah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat bagi mengikat kedudukan 1-1.

Memasuki babak kedua, tempoh permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas ser@ngan.

Skuad Red Giants hampir menambah gol kedua namun tandukan pemenang kasut emas musim 2018, Rufino Segovia sedikit tersasar pada minit ke-83.

Begitupun, menuju penghujung aksi, tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Brendan Gan dilayangkan kad merah apabila menerima kad kuning kedua pada masa keced3raan.

Berikut rangkuman keputusan perlawanan Liga Super yang berlangsung malam tadi.

Perak 1 UiTM FC 0

Selangor 1 Melaka 1

Terengganu FC 0 JDT 1