Keputusan Itu Tidak Adil Untuk JDT

Status penyertaan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan secara tiba-tiba mencetuskan tanda tanya.

Ia susulan terdapat dakwaan permohonan skuad JDT untuk mendaftar dalam kejohanan itu ditolak oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang semalam, belum ada kenyataan rasmi mengenai perkara itu sama ada daripada pihak AFC, mahu pun JDT sendiri.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika dihubungi BH Sukan, juga enggan memberi komen lanjut berkaitan dakwaan itu.

Ketika diajukan soalan adakah dakwaan itu benar atau sekadar khabar angin, Windsor hanya berkata: “Buat masa ini tiada komen.”

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan AFC menolak pendaftaran JDT berpunca daripada tindakan skuad JDT menarik diri daripada kejohanan itu musim ini.

Jika benar dakwaan itu, hukuman berkenaan tampak tidak adil buat skuad JDT kerana tindakan menarik diri terpaksa diambil selepas Kerajaan Malaysia tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebelum ini, media juga melaporkan JDT mungkin berdepan hukvman berdasarkan perkara 6.2 peraturan AFC, mana-mana pasukan yang menarik diri selepas peringkat kumpulan kejohanan itu bermula boleh didenda sehingga AS$50,000 (RM206,400) dan penggantungan sebanyak dua edisi.

Bagaimanapun atas sebab yang membabitkan pand3mik C0VID-19, skuad kendalian Benjamin Mora dijangka tidak akan dikenakan hukuman atas penarikan diri itu kerana terpaksa akur dengan keputusan kerajaan.