Kenyataan Itu Mungkin Menghampakan Penyokong

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulat suara memutuskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) minggu ini akan diteruskan tanpa kehadiran penyokong dan saingan bermula minggu depan akan ditunda kepada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Keputusan itu dibuat di atas kesedaran keselamatan dan kesihatan semua pihak ekoran penularan wa bak Covid-19 yang semakin menular.

Kenyataan itu mungkin menghampakan jutaan penyokong tegar yang tidak pernah terlepas untuk hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan pasukan kegemaran mereka.

Namun, itulah hakikat yang perlu diterima semua pihak.

Sudah pasti ia turut menjejaskan persediaan pasukan Kuala Lumpur yang sudah melakukan perancangan awal untuk bertemu Sabah dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA, Selasa depan. 

Skuad Warga Kota itu pada ketika ini sedang berada di Sarawak bagi menghadapi perlawanan keempat Liga Perdana menentang Sarawak United malam esok.

Bagaimanapun penundaan perlawanan bermula Isnin ini membuatkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pening kepala memikirkan perbelanjaan yang sudah dikeluarkan bagi menampung penginapan dan pengangkutan pemain bagi kedua-dua perlawanan berkenaan.

“Kami mohon kepada FAM dan MFL tentang bagaimana cara mereka untuk membantu persatuan yang sudah mengeluarkan perbelanjaan bagi perlawanan minggu depan,” kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa

“Kami harap ada cara untuk mereka membantu kami.”

Nada hampir sama turut disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Seluruh Melaka (MUSA), Damian Yoe, yang menganggap kehadiran penyokong di stadium sebagai antara sumber kewangan penting buat badan induk itu, yang masih dibelenggu masalah kewangan.

“Ia akan menjadi satu kekakangan kewangan bagi pasukan yang hanya bergantung kepada penjualan tiket.

“Dan Melaka antara pasukan yang memerlukan wang daripada penyokong menerusi penjualan tiket.

“Jadi, jika anda bertanyakan kepada saya, ia sudah pasti akan memberikan kesan daripada segi kewangan kami,” katanya.