Kembali Tersenyum

Walaupun kerajaan hanya memberi kelonggaran mengadakan latihan tanpa sentuhan, namun ia sudah cukup untuk mengukir senyuman buat beberapa jurulatih Liga Malaysia (Liga M).

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic percaya pemainnya akan lebih cergas dan bersedia menghadapi saingan Liga M yang dijangka disambung semula pada September ini.

“Selepas tiga bulan berehat tanpa sebarang aksi bola sepak, tempoh diberikan ini cukup ideal dalam membina kembali tahap kecergasan pemain.

“Cuma dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), saya harap semua pemain dan pegawai mampu ikuti apa sahaja garis panduan ditetapkan kerana kita mahu semua pihak berasa selamat daripada ancaman pandemik COVID-19.

“Malah bagi sesi latihan yang akan bermula nanti, pasti ini satu kelaziman baharu kerana perlu elakkan sebarang kontak sesama pemain. Saya akan cuba memastikan perkara ini boleh diikuti pasukan Perak,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan latihan bola sepak, sama ada secara profesional atau sosial dibenarkan semula mulai 15 Jun ini.

Bagaimanapun, kebenaran itu tidak membabitkan sebarang bentuk pertandingan tetapi hanya untuk memulakan sesi latihan dengan SOP yang ketat.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan menganggap pengumuman MKN itu sebagai sesuatu yang positif selain sudah bersedia mendengar apa sahaja SOP ditetapkan.

“Situasi ini memang di luar jangka kerana pemain seolah-olah menghadapi persiapan pra musim sebanyak dua kali dalam tempoh satu musim.

“Namun, melalui berita disampaikan semalam, saya rasa lega dan kini kami sedia mendengar apa sahaja SOP yang perlu dipatuhi.

“Mungkin suasana dalam latihan nanti akan sedikit berbeza kerana ada banyak SOP perlu dipatuhi tetapi kita akan cuba mengatasinya bagi memastikan latihan dapat dijalankan,” katanya.