Kembali Ke Tempat Sepatutnya Mereka Berada

Johor Darul Takzim (JDT) muncul sebagai pendahulu baharu CIMB Liga Super 2020 selepas berjaya mengatasi PDRM FA 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa lalu.

Tiga perlawanan berturut-turut, JDT hanya mampu melakar kemenangan tipis yang mana seolah tidak padan dengan reputasi mereka selaku pasukan pilihan utama yang juga juara enam musim berturut-turut, tetapi Benjamin Mora melihat ia sebagai situasi normal.

“Kami telah berdepan banyak situasi seperti ini dalam perlawanan lalu dan lawan melakukan kerja rumah yang begitu mendalam terhadap kemampuan terhadap pemain kami.

“JDT adalah pasukan yang mahu untuk ditewaskan oleh mana-mana pasukan dan kami boleh terima hakikat itu, cuma sekarang buat pasukan, kami kena tingkatkan lagi persembahan terutama pada aspek sentuhan penyudah serta corak permainan.

“Pemain-pemain baharu yang baharu sertai kami sedang cuba menyesuaikan diri lagi dengan pasukan ini tetapi saya tidak mahu jadikan itu alasan cuma apa yang penting kami meraih tiga mata serta sembilan mata secara keseluruhan dalam pertandingan ini, ” katanya.

Menang tipis atau besar, JDT adalah satu-satunya pasukan yang meraih sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan dan sedang dihimpit Perak yang menduduki tangga kedua menerusi pungutan tujuh mata.

Kini sudah kembali ke tempat sepatutnya mereka berada, apa yang bakal menjadi tumpuan dalam minggu-minggu yang mendatang, adakah sang harimau selatan akan kekal sebagai pendahulu mutlak sehingga musim berakhir, atau dominasi mereka berupaya diruntuhkan mana-mana pencabar lain.

Mungkinkah dengan konsistensi yang sedang mereka persembahkan, serta prestasi ‘yo-yo’ pasukan yang dikatakan boleh menjadi pencabar kejuaraan seperti Selangor, Kedah dan Terengganu FC setakat ini, ia memberikan indikasi bahawa sekali lagi perebutan kejuaraan mencapai penyudah anti kl!maks?

Selangor setakat ini mengumpul lima mata; Terengganu FC empat mata; Melaka United enam mata; Pahang tiga mata manakala Kedah hanya satu mata. Tidaklah jauh apatah lagi perjalanan liga masih jauh.

Tetapi jangan lupa, pada tahun lalu, sebaik sahaja mengambil alih teraju Liga Super daripada Pahang pada perlawanan keempat, JDT tidak lagi berpaling dan kekal di kedudukan itu sehingga tamat musim, yang mana mereka muncul juara ketika berbaki empat perlawanan lagi untuk diharungi.

Ia memerlukan kekuatan luar biasa, dibantu faktor keajaiban untuk menyisihkan JDT dari singgahsana, pastinya ia sesuatu yang menarik untuk disaksikan.