Kejutkan banyak pihak

Perak FC mendapat dua bintang baharu, Muhammad Farhan Roslan dan Izaaq Izhan Yuswardi bagi mengukuhkan pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2021 yang membuka tirai Jumaat ini.

Kedua-dua pemain sudah menyertai pasukan sejak semalam.

Begitupun daripada dua pemain itu, mungkin kedatangan Farhan mengejutkan ramai kerana dianggap permata Kedah hingga mendapat julukan ‘Messi Kedah’ .

Dia pernah dinobatkan sebagai Pemain Muda Harapan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014 dan diharap mampu mengisi kekosongan jentera s3rangan Perak selepas pemergian Eky atau Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi ke Selangor.

Ketua Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt mengesahkan pengambilan dua pemain itu yang sudah sah mempunyai ikatan dengan pasukan Bos Gaurus itu.

Menurut Yee Fatt, dia terpaksa merahsiakan pengambilan kedua-dua pemain itu kerana bimbang rundingan gagal di tengah jalan.

Katanya, Farhan, 24, dipinjamkan kepada Perak, manakala Izaaq, 25, musim lalu bersama Negeri Sembilan adalah pemain pertahanan.

“Saya yakin mereka mampu menjadi aset kepada Perak kerana kita memang kekurangan pemain berwibawa,” katanya.

Jurulatih itu yakin kedua-dua pemain itu mampu menyesuaikan diri dengan pasukan baharu mereka tidak lama lagi.