Kedah lulus cemerlang

TAHUN 2020 mencatat kejayaan buat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) apabila menerima pengiktirafan ‘FAM Pro Club Licensing CLO’ oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Seminar Pelesenan Kelab FAM 2020 hari ini.

KFA melalui Setiausaha Eksekutifnya Shahrul Samsudin, adalah di antara 10 penerima sijil penghargaan berkenaan yang juga pegawai pelesenan kelab terbabit dalam pengurusan sepanjang tiga tahun berturut-turut bersama pasukan masing-masing.

Penyampaian sijil ini berlangsung pada seminar bermula pada 16 Januari dan turut disertai Setiausaha Agung, Kehormat, Eksekutif dan Pegawai Pelesenan Kelab dari 20 pasukan yang akan bertanding pada saingan Liga Super dan Liga Premier untuk musim 2020.

KFA melalui media rasminya menyatakan penghargaan kepada Shahrul diatas sijil penghargaan dan pengiktirafan yang diterima yang disifatkan KFA sebagai satu kejayaan buat barisan pentadbiran persatuan itu pada tahun ini.

Sementara itu, Shahrul ketika dihubungi berkata beliau bersyukur menjadi antara 10 orang pegawai pelesenan kelab yang menjadi penerima sijil penghargaan bertaraf Pro oleh pihak FAM ini.

“Dengan kejayaan dan penghargaan yang dicapai ini saya bersama pihak pengurusan KFA berazam mahu terus melakukan usaha yang terbaik untuk musim 2020 ini.”

“Kejayaan yang dicapai ini menjadi perangsang untuk kami terus berusaha bagi memastikan kejayaan berterusan serta meningkatkan lagi imej KFA seterusnya.” katanya.