Kedah Dan Terengganu Akan Beraksi Di Singapura

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengesahkan Singapura telah dipilih sebagai tuan rumah kumpulan H dan I dalam saingan AFC Cup 2021 (Zon ASEAN).

Pertandingan itu akan berlangsung secara karnival di stadium sekitar Singapura yang akan ditentukan kemudian susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di beberapa negara.

Dua wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) akan berangkat ke Singapura pada bulan Mei 2021 dan mereka turut diundi dalam satu kumpulan bersama kelab dari negara itu.

KDA FC berada dalam Kumpulan H bersama kelab Liga Premier Singapura, Lion City Sailors dan wakil Vietnam, Saigon FC. Satu lagi lawan mereka akan diisi oleh pemenang ‘play-off’.

Manakala Terengganu FC pula berada dalam Kumpulan I bersama naib juara Liga Filipina, Kaya FC-Iloilo serta satu lagi pasukan dari Singapura, Geylang International. Bagaimanapun, wakil dari Myanmar akan ditentukan kemudian sama ada Shan United atau Ayeyawady United.

Antara venue yang kemungkinan akan menjadi lokasi perlawanan kedua-dua kumpulan tersebut ialah Stadium National, Stadium Jalan Besar, Stadium Jurong West atau Stadium Bishan.

Saingan peringkat kumpulan AFC Cup 2021 dijadualkan berlangsung pada 14 Mei hingga 20 Mei 2021 (Zon Selatan & Timur), 23 Mei hingga 29 Mei 2021 (Zon Barat) serta 22 Jun hingga 28 Jun 2021 (Zon ASEAN).

Setiap pasukan dari zon ASEAN akan bermain dalam 3 perlawanan diikuti separuh akhir zon ASEAN pada 10 atau 11 Ogos dan seterusnya perlawanan akhir zon ASEAN pada 25 Ogos 2021.

Juara ASEAN akan kemudian akan menentang juara dari zon selatan, tengah dan timur di peringkat separuh akhir ‘Inter-Zonal’ pada bulan September 2021. Perlawanan akhir akan diadakan pada 26 November 2021.