kebangkitan 5-3 PJ City FC luar biasa

AKS! luar biasa. Ini rumusan ketua jurulatih Petaling Jaya City FC (PJ City), K Devan selepas anak buahnya melakukan kebangkitan menakjubkan sekaligus mera napkan impian Terengganu FC (TFC) memburu kemenangan.

Ketinggalan 0-3 pada awal babak pertama sedikit pun tidak melunturkan semangat pemain skuad The Phoenix itu sebaliknya mereka tampil lebih bertenaga pada babak kedua sebelum mencatat kemenangan 5-3 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Devan ketika ditemui sejurus tamat perlawanan mengakui beliau bagaikan tidak percaya anak buahnya berjaya meledak lima gol sekaligus memadam defisit awal tiga gol TFC yang boleh dikatakan agak sukar untuk sesebuah pasukan bangkit menyaingi lawan lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang keramat skuad Penyu itu.

“Saya tak sangka dengan keputusan ini, bermain dengan pasukan Terengganu di tempat lawan dalam keadaan biasa tidak mungkin berlaku tetapi bola sepak ini kadang-kadang perkara luar biasa boleh berlaku, perlawanan malam ini (malam tadi) bagi saya sesuatu yang luar biasa.

“Pemain tampil dengan semangat juang yang tinggi tanpa mengenal erti putus asa walaupun ketinggalan dengan jumlah jaringan agak besar di tempat lawan, mereka bangkit mencipta kemenangan.

“Ketika di dalam bilik persalinan pada waktu rehat saya arahkan pemain mencari gol awal dan minta pemain melipatgandakan usaha dan kerja keras.

“Ternyata jaringan awal yang diperoleh itu menyuntik semangat pemain sebelum meledak gol kedua dan ketiga dalam masa sembilan minit sekaligus memberi petanda positif daripada segi mental pemain dan mereka terus berusaha untuk menghasilkan dua gol lagi sehingga kita berjaya catat kemenangan,” ujar Devan.

Mengulas lanjut, Devan mengakui pada babak pertama pemainnya lambat ‘panas’ dan selepas bolos tiga gol dalam waktu yang singkat, pemain sudah mula tunjuk kebangkitan, namun masih belum berjaya menghasilkan gol.

“Kelemahan yang kita dapat kesan pada babak pertama pemain mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan tetapi babak kedua kita dapat menyusun semula permainan dengan pemain mengambil kesempatan atas keletihan pasukan lawan.

“Kehadiran dua import baharu, Washington Brandao dan Pedro Henrique juga memberi kelebihan dan menyuntik semangat pemain lain terutama di bahagian serangan,” kata Devan yang turut mengakui kelebihan fizikal pemainnya juga antara faktor kejayaan kerana dapat menyaingi pemain TFC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *