Ke manakah hala tuju Liga Malaysia 2020?

Resah ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, menggariskan pilihan yang ada terlalu sukar untuk dipilih dan diterima.

FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal mengumumkan hala tuju liga bolasepak Malaysia 2020 minggu depan dan semua persatuan serta kelab perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan keputusan tersebut.

Antara pilihan yang hampir pasti, dikemukakan oleh Hamidin adalah meneruskan liga musim ini tanpa penyokong, untuk menepati arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menjelaskan rakyat perlu menjaga penjarakkan sosial dalam tempoh enam bulan ke setahun.

Selain itu, memendekkan jadual saingan liga juga antara jalan penyelesaian yang boleh dilakukan oleh FAM dan MFL selain membatalkan liga menjadi pilihan terakhir mereka.

Ini antara reaksi beberapa kelab dan persatuan yang turut mengharapkan supaya liga musim ini ada sinar untuk diteruskan.

“Pihak Felda United perlu akur jika saingan disambung tanpa sebarang penyokong,” kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

“Memendekkan liga sudah tentu satu pertandingan akan diteruskan seperti Piala Malaysia. Kami berharap ia tidak dibatalkan namun keutamaan adalah kesihatan setiap pihak,” ujar pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.

“Kami berpandangan untuk dibatalkan terus saingan bola sepak musim kerana KAFA amat mengutamakan bilangan penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di stadium,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Husin Deraman.