kalendar Liga Malaysia musim 2021

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kalendar Liga Malaysia musim 2021 yang akan bermula pada Februari tahun depan.

Perkara itu diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat kali ke-23 baru-baru ini.

Berikut merupakan tarikh penting Liga Malaysia:

Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara JDT dan Kedah – 26 Februari 2021

CIMB Liga Super dan Liga Premier – 27 dan 28 Februari 2021 dan bakal berakhir pada 20 dan 21 Ogos 2021

Piala FA – 2 dan 3 Mac 2021, final 11 September 2021

TM Piala Malaysia – 17 dan 18 September 2021, final 27 November 2021

Piala Cabaran – 3 dan 4 September 2021, final pertama pada 6 atau 7 November 2021, final kedua 13 atau 14 November 2021

Jendela perpindahan

Tempoh pendaftaran pertama – 21 November 2020 sehingga 14 Februari 2021

Tempoh pendaftaran kedua – 12 Julai 2021 sehingga 8 Ogos 2021

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, jadual Liga Malaysia telah mengambil kira semua aspek termasuk kejohanan antarabangsa.

“Jadi MFL turut mengambil kira berkenaan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (FIFA dan AFC) pasukan kebangsaan, tarikh Asian Champions League 2021 dan AFC Cup 2021 yang melibatkan tiga pasukan dari Liga Malaysia.

“Selain daripada itu, kejohanan Piala AFF Suzuki 2021 (AFF) berlangsung pada 11 April hingga 8 Mei 2021 disusuli kejohanan AFC bawah 19 tahun (B-19) akan bermula 3 sehingga 20 Mac 2021.”

Dalam mesyuarat MFL juga mengesahkan bahawa proses peralihan FA kepada FC yang dikendalikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini akan diserahkan pengurusan FC kepada MFL secara rasmi pada 1 Januari 2021 setelah segala urusan semakan fasa kedua selesai.

“Sepanjang bulan Januari 2021, beberapa siri taklimat oleh semua unit MFL kepada Pengurusan FC yang baharu untuk menyelaras pentadbiran pertandingan MFL dengan lebih teliti yang melibatkan Unit Pertandingan, Unit Komersil, Unit Media, Unit Penyiar Rasmi, Unit Strategi (ECP) dan lain–lain yang berkaitan bagi memastikan FC bersedia menghadapi Liga Malaysia musim 2021.”

Turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan adalah bermula musim 2021, semua pemain yang berdaftar di dalam pasukan CIMB Liga Super dan Liga Premier 2021 wajib menandatangani kontrak sebagai pemain profesional termasuk pemain pasukan-pasukan PDRM dan ATM.

Pemain profesional tempatan atau dan pemain asing mestilah menandatangani kontrak seperti disediakan dan ditetapkan oleh pihak FAM sahaja dan lain-lain kontrak adalah tidak diterima.