” Kalau boleh, bukan saya sahaja “

Penyerang negara, Safawi Rasid, mahu memperbaiki kesilapan dalam aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 tempoh hari dengan memastikan corak permainan lebih baik malam ini.

Keputusan 7-1 tempoh hari dianggap cukup sempurna tetapi ia tidak cukup untuk menggambarkan prestasi skuad negara ketika ini.

Hakikatnya, Safawi sendiri mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan ia perlu dibuktikan dalam aksi kedua bertemu Timor Leste malam ini.

“Kalau boleh, bukan saya sahaja, diharapkan pemain yang diturunkan akan mengelak kesilapan kerana kami tidak boleh memandang rendah terhadap lawan. Mana-mana pasukan boleh bangkit, kami perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal,” katanya.

Sudah pasti corak permainan memainkan peranan dan keputusan kini menjadi hal kedua.

Bagaimanapun, kemenangan adalah syarat utama yang perlu disempurnakan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Cheng Hoe menegaskan formasi 4-2-3-1 masih menjadi sandarannya, dengan Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi bakal menjadi watak penting di jentera serangan skuad negara.

“Saya masih fokus dan tidak ambil mudah aksi malam ini walaupun mendahului 7-1 tetapi saya percaya rakan sepasukan akan mengekalkan prestasi perlawanan sebelum ini,” tambah Safawi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *