Jutaan Ringgit Lesap

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) dianggarkan berdepan kerugian jutaan ringgit susulan penularan COVID-19 yang melumpuhkan industri bola sepak negara.

Angka itu tidak mustahil terutama selepas penangguhan liga menyebabkan tiada perlawanan dapat berlangsung sekali gus menyebabkan pasukan tidak dapat menjana pendapatan menerusi kutipan hasil tiket.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan, lima perlawanan termasuk satu aksi Piala FA tidak dapat dilangsungkan dengan aksi terakhir pada 14 Mac lalu namun perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penyokong.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya dijangka ‘kehilangan’ hampir RM1 juta daripada kutipan tiket perlawanan sekiranya perlawanan terus ditangguhkan.

“Tetapi situasi ini tidak begitu menjejaskan kedudukan kewangan kita kerana kutipan tiket bukanlah sumber utama kewangan memandangkan kita banyak mendapat sokongan daripada penaja.

“MUSA mengharapkan saingan Liga M akan diteruskan namun apapun keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerajaan, kami akan terima,” katanya yang juga Timbalan Presiden FAM.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman menganggarkan pihaknya sudah kerugian hampir RM200,000 selepas ketiadaan aksi di laman sendiri menyebabkan kantung mereka terus ‘bocor.’

“Kita ada dua perlawanan yang sepatutnya berlangsung di tempat sendiri sepanjang tempoh penggantungan liga dan jika anggaran kasar dibuat, situasi itu menyebabkan kita kehilangan hampir RM200,000 yang pastinya dapat menampung sedikit kos pengurusan kita.

“Tambahan pula, 60 peratus pendapatan pasukan memang daripada kutipan tiket, jadi kalau tiada penyokong, tiadalah wang yang dapat dijana. Sebab itulah kita melihat mungkin lebih baik kalau saingan liga dibatalkan terus,” kata Husin.

Bagi pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abd Rashid, penangguhan perlawanan sememangnya memberi impak dari sudut ekonomi namun bukan sahaja kepada pasukan The Red Giants, malah semua pasukan yang bertanding pada musim ini pasti turut merasai keadaan sama.

“Kalau kita ambil secara purata di mana setiap perlawanan dihadiri 15,000 penyokong dengan tiket RM10, daripada kiraan kasar itu sahaja kita nampak setiap pasukan boleh menjana RM150,000 dan kalau tiada perlawanan, mungkin inilah jumlah yang tidak dapat diperoleh pasukan selepas tiada perlawanan.

“Saya lihat penangguhan liga bukan setakat memberi kesan kepada pasukan namun jika dilihat secara menyeluruh, semua yang berada dalam industri ini terkena tempiasnya,” kata Mahfizul.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa pula berkata, kutipan tiket perlawanan mereka tidaklah begitu besar seperti musim lalu memandangkan mereka kini beraksi dalam saingan Liga Perdana namun ia dapat digunakan untuk membayar kos penganjuran perlawanan.

sumber: BH

“Kalau mahu katakan kita rugi sebab tiada perlawanan, tidak juga kerana sebelum ini, kita hanya mengutip kira-kira RM11,000 untuk satu perlawanan di tempat sendiri pada musim ini. Cukuplah untuk kita membayar kos stadium dan petugas.

“Kutipan kita selalunya bergantung pada pasukan lawan kita tetapi sekarang kita dalam Liga Perdana, mungkin kutipan tidaklah setinggi musim lalu yang mana kita pernah mengutip lebih RM300,000 untuk beberapa perlawanan berskala besar,” katanya.