Junior Eldstal bakal membuat penampilan semula

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Junior Eldstal bakal membuat penampilan semula bersama pasukan Kuala Lumpur hanyalah khabar angin apabila skuad ibu kota sudah ada individu lain dalam radar bagi menghadapi saingan Liga Super pada musim hadapan.

Pengurus skuad Kuala Lumpur Hamidi Abu Bakar berkata, pemain kacukan Sweden-Malaysia itu tiada dalam senarai pemain baharu apabila mereka lebih menumpukan untuk mengambil pemain muda pada musim depan.

Malah, skuad Ibu Kota yang akan beraksi pada saingan Liga Super pada musim depan itu juga akan mengekalkan beberapa muka lama termasuk pemain veteran untuk menguatkan pasukan.

“Saya ada juga mendengar khabar angin yang mengaitkan pemain terbabit akan bersama Kuala Lumpur namun setakat ini dia tiada dalam perancangan kami.

“Sekarang ini, kami akan mengambil beberapa pemain baharu namun lebih bergantung kepada bajet yang akan dibentangkan nanti,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, berkaitan jurulatih baharu pada musim hadapan pula, Hamidi berkata pengurusan akan mengadakan perbincangan pada Isnin ini sebelum memutuskan individu yang layak memimpin Kuala Lumpur.

“Apa yang pasti bukannya jurulatih tempatan kerana kita mahukan pembaharuan seterusnya mengambil pengendali asing untuk membimbing pasukan pada musim depan.

“Pengendali berkenaan cukup dikenali dan pernah membimbing pasukan di Asia Tenggara sekali gus diharapkan mampu menggalas cabaran membawa Kuala Lumpur mengecapi kejayaan,” katanya.