JDT Mungkin Berhadapan Tindakan Daripada AFC

Kuala Lumpur: Sudahlah tidak mendapat pelepasan beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL), episod malang terpaksa dilalui juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mungkin berhadapan tindakan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Berdasarkan perkara 6.2 peraturan kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mana-mana pasukan yang menarik diri selepas peringkat kumpulan kejohanan itu bermula boleh didenda sehingga AS$50,000 (RM206,400) dan penggantungan sebanyak dua edisi.

Menurut sumber, situasi terbabit sekali gus memberi bayangan JDT turut berisiko terlepas aksi ACL untuk musim akan datang jika denda berkenaan dikenakan kepada pasukan terbabit.

Beliau berkata, ketika ini AFC dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian situasi terbabit yang jelas akan menyebabkan JDT menjadi mangsa keadaan.

”Jika ikut undang-undang memang boleh dikenakan tindakan namun situasi sekarang ini adalah disebabkan pintu sempadan ditutup bukannya pasukan itu menarik diri. Keputusan berkaitan perkara terbabit akan diketahui dalam masa terdekat ini selepas perbincangan bersama pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, JDT terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi pada pusingan zon timur ACL dari 18 November hingga 13 Disember depan di Doha, Qatar apabila kerajaan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polisi berkenaan sudah dimaklumkan kepada semua pihak sebelum ini dan turut tertakluk kepada pasukan bola sepak di negara ini.

Namun, JDT mungkin tidak dikenakan hukuman apabila berdasarkan undang undang khas untuk pertandingan AFC ketika pandemik Covid-19, kegagalan pasukan untuk pergi ke venue perlawanan susulan larangan untuk keluar negara akibat Covid-19 menyaksikan pasukan itu dianggap menarik diri.

Situasi sama pernah menimpa Al-Wahda apabila pasukan itu juga turut dianggap menarik diri selepas gagal tiba ke Doha untuk baki perlawanan Kumpulan A mereka, September lalu. Bagaimanapun, jika bersandarkan kepada kes Al-Wahda yang dilihat berdepan situasi sama dengan JDT di mana mereka tidak boleh menuju ke venue perlawanan, skuad Harimau Selatan itu mungkin terlepas daripada sebarang hukuman.

Ini kerana Jawatankuasa Sub Covid-19 AFC memutuskan kegagalan Al-Wahda tiba di venue perlawanan susulan larangan untuk ke luar negara dianggap sebagai force majuere selaras dengan perenggan 6.4 dan 71 Peraturan Pertandingan AFC.

sumber: HM

Perenggan 6.4 menyaksikan sebarang hukuman yang sepatutnya dikenakan ke atas pasukan yang menarik diri selepas pertandingan bermula tidak boleh dikenakan sekiranya berlakunya force majuere yang disahkan oleh Jawatankuasa Pertandingan AFC.