JDT Kemungkinan Terlepas Menggunakan Khidmat Pemain Yang Semakin Meningkat

Walaupun khabar angin bertiup kencang pemain kacukan Malaysia-Amerika Syarikat, Isaac Angking bakal menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2021 namun sebenarnya perkara terbabit kemungkinan tidak menjadi kenyataan apabila tiada perbincangan secara serius dilakukan kedua-dua pihak.

Ejen pemain terbabit Nicco Roffo ketika dihubungi mengesahkan bahawa ketika ini tiada tawaran rasmi diterima daripada juara Liga Super tujuh kali itu untuk mengambil pemain berkenaan pada musim ini.

Malah, JDT kemungkinan terlepas menggunakan khidmat pemain yang semakin meningkat itu apabila dikhabarkan turut dipancing sekurang-kurangnya dua kelab lain yang berpangkalan di Eropah.

“Saya boleh mengesahkan bahawa Isaac dan pihak JDT ada berbual mengenai perkara berkenaan namun sehingga kini tiada tawaran rasmi diterima daripada pasukan itu.

“Setakat ini, Isaac ada dipancing oleh beberapa kelab di Eropah terutama di Amerika Syarikat namun belum memutuskan lagi mengenai perkara itu.

“Jika tiada perbincangan secara serius kemungkinan Isaac tidak akan bersama JDT untuk musim ini dan akan bermain bersama pasukan lain,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, nama tonggak naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Isaac semakin kuat dikaitkan JDT musim ini.

Spekulasi itu timbul susulan pendedahan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan kelab terbabit bakal membuat pengumuman khas berhubung kemasukan sekurang-kurangnya lapan pemain baharu menerusi satu sidang media.

Ia termasuk dua tonggak naturalisasi yang tidak didedahkan oleh Tunku Ismail namun, di kalangan peminat bola sepak tempatan menjangkakan kepulangan semula Sumareh ke Liga Malaysia (Liga M) selepas dia menyertai pasukan Police Tero di Liga Thailand dengan kontrak selama enam bulan, September lalu.

Perasaan teruja peminat untuk mengetahui kejutan yang bakal diumumkan nanti turut menyaksikan Isaac, yang juga pemain kacukan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) akan menyertai skuad Harimau Selatan.

Pemain tengah berusia 20 tahun kelahiran Rhode Island itu dikaitkan selepas kelabnya, New England Revolution yang beraksi dalam Major League Soccer di Amerika Syarikat tidak menyambung khidmatnya.

Dia yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia kerana ibunya berasal dari Sarawak, sebelum ini turut pernah menyarung jersi skuad bawah 17 tahun (B-17), Amerika Syarikat dan bermain di Nike International Friendlies namun gagal tersenarai dalam skuad Piala Dunia B-17 negara Uncle Sam itu.