JDT Hukum Safiq Rahim

Pendedahan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa pemain skuad Harimau Selatan yang melanggar polisi dan etika kerja kelab itu berdepan hukuman denda, bukan sekadar cakap kosong.

Ia susulan pengakuan pemain JDT, Safiq Rahim bahawa dia pernah dihukum kelab itu kerana kesalahan lewat menghadiri latihan.

Menurut Tunku Ismail, pemain atau jurulatih terikat dengan polisi dan etika kerja kelab yang mana mereka akan didenda RM15,000 jika lewat hadir latihan dan RM40,000 sekiranya menyalahgunakan media sosial.

Safiq menerusi rancangan Bola@Mamak, Isnin lalu bagaimanapun menjelaskan hukuman yang dikenakan memberi pengajaran kepada pemain mengenai kepentingan disiplin sebagai pemain profesional.

Saya pernah kena (hukuman dari JDT). Tapi ia bagi pengalaman dan kalau saya tak kena macam itu dulu mungkin saya tak belajar sesuatu yang lebih baik.

“Jadi kita boleh kongsi kepada pemain lain terutama pemain muda yang benda macam ini wajib ditekankan. Latihan, menepati masa dan segala-galanya berkaitan berdisplin sebab bola sepak bukan hanya nak main bola sepak,” katanya.

Selain itu, Safiq yang kembali menyertai JDT musim ini menjelaskan bahawa dia merancang untuk manamatkan kariernya bola sepaknya bersama skuad Harimau Selatan.

Pemain berusia 34 tahun itu berterima kasih kepada Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana masih memberinya kepercayaan untuk kembali bersama kelab itu.

“Saya agak kerdil bila kembali ke sini. Saya sentiasa rasa saya belum cukup yang terbaik. Jadi, Insya-Allah kalau saya masih lagi diberi kepercayaan dan peluang, saya akan balas balik dengan persembahan.

sumber:- BH

“Bukan mudah bagi saya sebagai pemain untuk berada dalam pasukan ini. Perancangan saya akan habis di sini, saya akan tamatkan karier saya sebagai pemain bola sepak di pasukan JDT,” katanya.