JDT Harus Waspada

JOHOR BAHRU: Juara Piala Sultan Ahmad Shah Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan menganggap pendatang baharu dalam saingan Liga Super, UiTM FC mudah ditewaskan sebaliknya bersikap waspada dengan penampilan pasukan itu pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali JDT Benjamin Mora menegaskan, walaupun faktor keletihan yang menghantui barisan pemainnya selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat, ia bukan penghalang untuk memberi persembahan terbaik tatkala aksi liga elit bersambung selepas mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia, baru-baru ini.

“Saya mahukan pemain cergas terutama aspek fizikal dan mental. Saya percaya mereka tidak berdepan masalah untuk kembali berada di tahap memuaskan,” kata Mora.

“Namun saya tidak bimbang kerana beberapa pemain seperti Leandro (Velazquez), Matthew (Davies) dan Liridon (Krasniqi) bersedia kembali beraksi.

“Mungkin akan ada penggiliran pemain dan ia langkah terbaik bagi memastikan pemain yang mengharungi tiga perlawanan dalam masa terdekat mendapat rehat yang secukupnya.

“Di atas kertas UiTM FC mungkin bukan tandingan tetapi pasukan seperti ini yang kita harus berjaga-jaga kerana mereka akan turun habis-habisan untuk membuktikan kepada peminat bola sepak, mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan di Liga Super.”

Mora juga menggesa pemain skuad Harimau Selatan supaya tidak mengambil mudah perlawanan itu, sebaliknya perlu menganggap ia perlawanan penting kerana pasukan lawan akan turun 120 peratus untuk mengintai peluang menidakkan kemenangan JDT.

Berkenaan status kecederaan kapten Hariss Harun yang tidak diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab Korea, Suwon Bluewings selepas mengalami kecederaan, Mora belum pasti pemain itu dapat diturunkan pada pertembungan menentang UiTM FC.

“Peluang 50 peratus sama ada Hariss diturunkan atau tidak. Kecederaan yang dialami di lutut kiri agak serius dan berharap dia kini sedang menjalani proses pemulihan. Keadaan Aidil Zafuan (Abd Radzak) semakin pulih dan kita tengok sama ada dia boleh beraksi malam esok,” katanya.