JDT dan Kedah membuka Tirai Liga M Musim 2021

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan akan membuka tirai dengan aksi Piala Sumbangsih antara juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada 26 Februari.

Kedah dipilih mengisi slot Piala Sumbangsih sebagai status naib juara Liga Super kerana tiada pemenang Piala FA dan Piala Malaysia selepas kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan perlawanan domestik seperti Liga Super dan Liga Perdana akan bermula pada 27 dan 28 Februari dan bakal berakhir pada 20 dan 21 Ogos.

Katanya, kejohanan Piala FA bakal berlangsung pada 2 dan 3 Mac sehingga aksi final pada 11 September, manakala Piala Malaysia bermula 17 dan 18 September hingga 27 November.

“Bagi persiapan pasukan untuk musim 2021 MFL menetapkan tempoh pendaftaran pertama, pasukan boleh mendaftarkan pemain bermula 21 November 2020 sehingga 14 Februari 2021 di mana mereka memiliki tempoh hingga 12 minggu.

“Bagi tempoh pendaftaran kedua, pasukan boleh berbuat perkara sama bermula 12 Julai 2021 sehingga 8 Ogos 2021 di mana tempoh empat minggu masa diperuntukkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kejohanan Piala Cabaran akan berlangsung pada 3 dan 4 September 2021 hingga final pertama pada 6 atau 7 November 2021 diikuti final kedua pada 13 atau 14 November 2021.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani memaklumkan perancangan kalendar baharu Liga M bagi musim 2021 sudah mengambil kira pelbagai aspek.

Katanya, proses peralihan FA kepada FC di mana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyerahkan pengurusan FC kepada MFL secara rasmi pada 1 Januari 2021 selepas segala urusan semakan fasa kedua perpindahan selesai.

“Sepanjang Januari 2021, beberapa siri taklimat oleh semua unit MFL kepada Pengurusan FC yang baharu untuk menyelaras pentadbiran pertandingan MFL dengan lebih teliti yang membabitkan Unit Pertandingan, Unit Komersil, Unit Media, Unit Penyiar Rasmi, Unit Strategi (ECP) dan lain–lain yang berkaitan bagi memastikan FC bersedia menghadapi Liga M musim 2021.

“Jadi MFL turut mengambil kira berkenaan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (FIFA dan AFC) Pasukan Kebangsaan, tarikh Liga Juara-Juara Asia 2021 dan Piala AFC 2021 yang membabitkan tiga pasukan dari Liga M.

“Selain itu, kejohanan Piala AFF Suzuki 2021 (AFF) berlangsung pada 11 April hingga 8 Mei 2021 disusuli kejohanan AFC bawah 19 tahun (B-19) akan bermula 3 sehingga 20 Mac 2021,” katanya.