JDT bersiap

KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak sudah bersedia meraikan kejuaraan Liga Super ketujuh berturut-turut mereka selepas aksi berdepan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Ia susulan kelab berkenaan akan menganjurkan ‘viewing party’ secara penjarakan fizikal dari dalam kereta yang mana aksi berdepan Sabah menjadi perlawanan terakhir JDT di gelanggang sendiri bagi aksi Liga Super musim ini.

Berdasarkan kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, sebanyak 650 pas kereta diperuntukkan untuk pemegang pas bermusim dan ahli Yayasan JDT untuk menyertai ‘In-Car Viewing Party’ itu.

“Pemegang pas bermusim boleh terus ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos untuk membuat pendaftaran kereta dan mengambil pas kereta manakala ahli Yayasan JDT boleh membuat pengambilan pas di Restoran Selasih, Dataran Bandaraya. Kedua-dua kaunter akan dibuka esok dari jam 12 tengah hari sehingga 6 petang.

“Hanya kereta yang berdaftar dan memiliki pas kereta sahaja yang dibenarkan masuk ke perkarangan Stadium Sultan Ibrahim untuk menyertai ‘Viewing Party’ ini di mana penyokong dapat menyaksikan siaran langsung perlawanan JDT menentang Sabah di skrin gergasi diikuti gimik selepas perlawanan termasuk ‘extended reality’ dan pertunjukan bunga api,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, dalam kenyataan di Facebook sama, kelab berkenaan menjelaskan sebanyak 1,500 pas kereta disediakan dengan konsep siapa cepat dia dapat sehingga jam 8 malam hari ini dan dari 9 pagi hingga 8 malam, Khamis ini.