Jaringan Kipre Mungkin Offsaid

Kedah melangkah ke suku akhir Piala Malaysia setelah men3waskan Pahang 3-2 dalam aksi pusingan pertama yang cukup sengit dan mendebarkan di Stadium Darul Aman pada Jumaat.Kedah ternyata garang dalam aksi pertama di gelanggang sendiri selepas lima perlawanan bermain di luar Alor Star, apabila berjaya mendahului 3-0 menerusi gol Shakir Hamzah, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche dalam 45 minit pertama.

Ketika Kedah dijangka akan terus berpesta, Pahang sebaliknya membalas menerusi jaringan Muslim Ahmad di awal separuh masa kedua dan Faizal Rani di penghujung perlawanan, tetapi sudah terlewat untuk memacu kebangkitan tok gajah mencari gol penyamaan.

Skuad Dollah Salleh seharusnya menyalahkan diri sendiri atas kegagalan untuk memberikan permainan bertenaga di separuh masa pertama, dan nasib mereka juga mungkin lebih baik sekiranya penyerang import Dickson Nwakaeme menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81.

Ketika kedudukan 1-3, pengadil Nazmi Nasaruddin menghadiahkan penalti selepas Adam Reed dijatuhkan Renan Alves (walaupun ia dilihat sebagai soft-penalty), tetapi tendangan kuat Dickson sekadar mengegar palang gol.

Tatkala Kedah berjaya bertahan untuk mengesahkan kemenangan, apa yang menjadi perdebatan dan perbualan hangat dalam kalangan penyokong selepas tamat perlawanan adalah gol ketiga Kedah jaringan Kipre Tchetche.

Kipre dan Kpah Sherman kedua-duanya dilihat sudah berada dalam keadaan ofsaid ketika hantaran lintang ke dalam kotak penalti dilakukan oleh Faizat Ghazali.

Pada ketika hantaran itu dilakukan pembantu pengadil sudahpun mengangkat bendera menandakan ofsaid tetapi Nazmi Nasarudin meneruskan permainan, Kipre menyambut bola yang gagal dikeluarkan dengan kemas oleh S.Kumaahran dan melepaskan satu rembatan kencang menewaskan Helmi Eliza.

Keputusan Nazmi meneruskan permainan dan membenarkan gol itu pastinya menimbulkan keraguan, dan ternyata gol itu menjadi pemisah pada akhirnya antara kedua-dua pasukan.

Kedah yang merupakan finalis Piala Malaysia musim lalu akan menentang pemenang di antara Selangor dan Melaka United di pusingan suku akhir.

Kali terakhir pasukan Kedah muncul juara adalah pada edisi 2016 setelah menewaskan Selangor menerusi sepakan penalti dalam perlawanan akhir.