Jangan Perlekeh JDT

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menegaskan mana-mana pihak tidak sepatutnya memperlekeh kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sebaliknya, Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby berkata pasukan lain di negara ini seharusnya menjadikan JDT sebagai model contoh yang perlu diikuti dalam menaikkan nilai bola sepak negara.

Pasukan JDT berjaya kerana mempunyai pemilik iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang think big and think far prinsipnya. Jangan ada mana-mana pihak yang memperlekehkan kejayaan pasukan JDT.

Gunakan pasukan JDT sebagai role model untuk melangkah ke penswastaan. Pada pendapat saya, jangan sekadar tukar nama tetapi berfikiran amatur yang berterusan, katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail menjelaskan pasukan lain tidak boleh dibandingkan dengan JDT terutama dari segi pendapatan atau dana yang diperoleh skuad JDT.

Ia selepas Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan bahawa masih ada pasukan di negara ini yang bergantung kepada dana kerajaan negeri walaupun sudah memasuki era penswastaan.

Shebby yang juga pengulas sukan bola sepak berkata, menjadikan JDT sebagai contoh tidak semestinya mengikut sepenuhnya perbelanjaan yang dilakukan skuad itu.

Ambil sebagai satu contoh, tapi tidak bermakna yang perbelanjaan kita macam itu. Kita ambil dari aspek pemasaran, pembangunan pasukan dan pentadbiran. Gunakan pendekatan sama, cuma cara berbeza.

Sebagai contoh, kita guna kereta biasa dan orang lain naik Lamborghini, tapi ikut jalan yang sama. Walaupun mungkin lambat, tapi tetap akan sampai, katanya.