“Ini menjadi sejarah”

Semua pasukan Liga Malaysia dilaporkan telah berjaya menghantar segala dokumentasi bagi melengkapkan proses penswastaan merangkumi pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) sebelum tarikh akhir hari ini.

Ini selepas PDRM dan UKM FC menjadi dua pasukan terakhir yang melengkapkan proses tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, proses itu telah dilengkapkan oleh 21 pasukan Liga Malaysia musim 2020 termasuk ATM FA yang beraksi di Liga M3.

“Ini menjadi sejarah kepada proses penswastaan kelab bola sepak di negara apabila kesemua pasukan dan kelab berjaya melengkapkan proses penswastaan sebelum tarikh akhir 30 September,” katanya kepada Sinar Harian.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, saya juga berterima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang sentiasa memberi motivasi kepada jawatankuasa yang baru berusia setahun jagung ini dalam menyelesaikan tugasan penting sebegini.

“Terima kasih juga kakitangan jawatankuasa yang berkorban tenaga dan berhempas pulas siang dan malam dalam membantu memastikan kesemua pasukan dan kelab Liga Malaysia ini dapat melengkapkan proses penswastaan ini.”

Ini juga bermakna kesemua 21 pasukan tersebut layak beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.