Helang Merah Meleburkan Rekod Tanpa Kalah Red Giants

KUALA LUMPUR: Kedah akhirnya menamatkan kemarau kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Keputusan itu turut menyaksikan Helang Merah meleburkan rekod tanpa kalah Red Giants dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Renan Alves meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak di depan pada minit ke-25 sebelum Kpah Sherman menambah gol kedua Helang Merah seminit sebelum tamat babak pertama.

Aksi babak kedua bagaimanapun menyaksikan tiada jaringan terhasil sekali gus kedudukan 2-0 memihak Kedah kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, pendatang baharu Liga Super, UiTM FC turut merasai kemenangan pertama selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas PDRM di Stadium UiTM Shah Alam.