‘Harimau Import’ Kedua Negara

KUALA LUMPUR: ‘Harimau import’ kedua negara, Liridon Krasniqi tampak gembira selepas dia kini boleh menyarung jersi Harimau Malaya secara rasmi.

Susulan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sah bergelar pemain naturalisasi kedua negara, dia dilihat melontarkan kesyukuran menerusi laman Instagramnya, malam tadi.

“Hari ini adalah hari yang baik. Alhamdullilah,” kata Liridon.

Kemaskini menerusi laman Instagram itu turut disertakan dengan bendera Malaysia, ’emoji’ tangan dan muka tersenyum sekali gus ia mungkin berpunca daripada berita baik itu.

Terdahulu, penantian seluruh peminat bola sepak tanah air untuk melihat Liridon atau lebih mesra dipanggil Mat Don menyarung jersi keramat skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab selepas dia kini sah bergelar pemain naturalisasi kedua negara.

Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam kelmarin yang mengesahkan pihaknya sudah mendapat surat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkhabaran itu sudah pasti menimbulkan perasaan tidak sabar seluruh peminat untuk melihat pemain kelahiran Kosovo itu menggalas tugas selaku perancang tengah baharu skuad kebangsaan.

Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh sebelum ini adalah pemain naturalisasi pertama negara.