harap Selangor tak ‘merempat’

KUALA LUMPUR: “Stadium Shah Alam rumah kita!”

Justeru, pengendali Selangor, B Sathianathan mengharapkan segala isu yang membelenggu stadium keramat itu dapat diselesaikan sebelum sepak mula bagi mengelak daripada The Red Giants ‘merempat’ dan terpaksa beraksi di venue lain.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu turut mengakui banyak aspek yang akan terjejas sekiranya Selangor tidak dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam namun dia optimis pihak terbabit dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Sayanglah kalau kita tidak dapat main di Stadium Shah Alam kerana ini memang tempat kita. Kalau kita terpaksa main di tempat lain, sudah tentu ia akan menyukarkan banyak pihak.

“Apa yang paling saya kasihankan sudah tentulah kepada penyokong. Katakanlah kita main di Stadium Selayang, kita terpaksa main petang dan kapasiti juga tidak cukup besar untuk menampung perlawanan besar.

“Kalau kita terpaksa juga main pada sebelah petang, pasukan yang bertanding juga akan berdepan masalah untuk memberikan intensiti dan persembahan terbaik. Tetapi saya percaya masalah itu dapat diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, juara Piala Malaysia 33 kali itu mungkin terpaksa melupakan aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini di Stadium Shah Alam susulan kerosakan bumbung gelanggang keramat skuad Gergasi Merah itu yang mengancam keselamatan penonton.

Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan awal sebelum ini sudah dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk segera melakukan baikpulih stadium berkenaan.

Katanya, semua venue perlawanan Liga M 2020 perlu mencapai tahap piawaian seperti ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Februari ini atau Selangor berdepan larangan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah mereka bagi musim ini.