Hanya Sediakan 3 ‘Seat’

Laman sesawang Axello.Net telah mengeluarkan statistik 11 pemain yang paling banyak bermain untuk skuad negara pada tahun 2019 dan daripada senarai tersebut, jelas kelihatan sebahagian besarnya adalah tonggak utama Harimau Malaya.

Sudah lama skuad kebangsaan tiada ramai pemain utama yang boleh dikatakan mempamerkan aksi mantap, tidak kira samaada di saingan domestik mahupun ketika menyarung jersi skuad kebangsaan. Ia delima yang sudah agak panjang.

Namun, selepas Tan Cheng Hoe mengambil alih skuad kebangsaan bermula pada Disember 2017 daripada Nelo Vingada, corak tersebut dilihat kian berubah dan kelihatan semakin bertambah baik. Resipinya berjaya membantu Malaysia. Setelah sekian lama, Harimau Malaya dilihat kembali mendapat tempat di hati para penyokong selepas berakhirnya era Safiq Rahim dan rakan-rakan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal. Menariknya, ketika itu, Tan Cheng Hoe adalah pembantunya.

Siapakah 11 pemain yang telah mencatatkan banyak penampilan pada musim 2019? Dan siapakah diantara mereka boleh kita anggap sebagai tonggak utama pasukan? Berikut merupakan 11 pemain yang telah membuat penampilan terbanyak mengikut posisi: Farizal Marlias 7 (1), Matt Davies 10 (2), Corbin Ong 10, Shahrul Saad 13, Adam Nor Azlin 6 (2), Nor Azam Azih 9 (1), Akram Mahinan 6 (1), Brendan Gan 7 (1), Mohamadou Sumareh 8 (1), Safawi Rasid 9 (1), dan Norshahrul Idlan Talaha 10 (2).

Daripada 11 pemain yang disenaraikan, kelihatan hanya tiga pemain yang boleh dikatakan ‘bakal’ tersisih untuk tahun 2020, ketika Malaysia akan melalui fasa penting kelayakan Piala Dunai 2022/Piala Asia 2023 berdepan UAE, Vietnam dan Thailand.

Pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin, pemain tengah Kuala Lumpur, Akram Mahinan dan juga penyerang kelab Thai League 1, BG Pathum United, Norshahrul Idlan Talaha mungkin akan ‘berehat’ seketika daripada pilihan utama. Dengan kembalinya pertahanan kental, Aidil Zafuan, Adam Nor Azlin telah kehilangan tempatnya di dalam skuad juara enam kali Liga Super, JDT dan juga skuad negara. Untuk lima penampilan semula, Aidil Zafuan merekodkan tiga cleansheet.

Selain itu, Adam Nor Azlin yang merupakan antara pemain muda berbakat perlu berhadapan dengan Irfan Zakaria yang mungkin bakal membuat penampilan lebih kerap dalam kesebelasan utama Kedah selepas aksi baiknya sebelum liga berehat.Akram Mahinan pula nampaknya akan terus terpinggir selepas kehadiran Brendan Gan yang memberi impak positif buat skuad negara, selain telah berhijrah ke pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur apabila PKNS FC dijadikan Selangor 2, musim ini.

Gandingan Brendan Gan bersama Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba mungkin akan terus dieksplorasi oleh Tan Cheng Hoe sepanjang beberapa perlawanan disamping Afiq Fazail yang cemerlang di JDT turut mengintai peluang buat dirinya. Untuk penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha mungkin sudah boleh fokus dengan karier baharunya di Thailand. Kehadiran Brendan Gan boleh dianggap ‘mematikan’ seluruhnya peranan Syafiq Ahmad selaku penyerang kedua Harimau Malaya.

sumber: semuanyabola

Dan penyerang JDT itu mungkin akan bersaing rapat bersama penyerang Perak yang kian memuncak prestasinya, Shahrel Fikri bagi mengisi tempat Norshahrul Idlan Talaha selaku penggempur utama Harimau Malaya selepas ini.

Walaubagaimanapun, jika kedua-dua pemain itu tidak mendapat tempat bersama pasukan atau prestasi ‘mengucup’ semula, Norshahrul Idlan Talaha mungkin boleh dipertimbangkan untuk kembali dek kerana pengalaman antarabangsanya.