Hampir Pasti Sertai Pasukan

Pasukan Perak dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat bekas pemain import Kedah, Shakir Hamzah bagi memperkuatkan benteng pertahanan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut laporan wartawan The Star, T.Avineshwaran, Perak akan menawarkan kontrak kepada pemain skuad kebangsaan Singapura itu dalam jangka masa terdekat, sekaligus bakal mengisi slot pemain import Asia Tenggara.

Sejak beraksi bersama Kedah pada musim 2019 lalu, Shakir Hamzah muncul sebagai salah satu pemain pertahanan terbaik di Liga Malaysia.

Beliau membantu Kedah memenangi Piala FA pada 2019 dengan menewaskan pasukan Perak di pentas akhir, selain mara ke final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim.

Selain itu, pemain berusia 28 tahun ini juga membantu Kedah menamatkan saingan Liga Super musim 2020 di tangga kedua, sekaligus layak ke saingan Piala AFC musim hadapan.

Meskipun menampilkan prestasi terbaik, namun kontrak Shakir tidak disambung bagi menghadapi musim 2021 dan menjadikan pemain itu sasaran beberapa pasukan Liga Super.

Jika Shakir menandatangani kontrak bersama Perak, maka beliau akan menggantikan Thierry Chanta-Bin sebagai pemain import Asean baharu pasukan.