Hampir Pasti Milik

Jika ada pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini, Jordan Mintah, hasrat itu boleh dilupakan apabila pemain itu hampir pasti beraksi bersama pasukan Terengganu musim depan.

Bagaimanapun sama ada pemain yang pernah berguru bersama akademi bola sepak Marseille di Perancis itu akan menyarung jersi pasukan ‘abang’ Terengganu FC (TFC) ataupun pasukan ‘adik’ Terengganu FC II (TFC II) masih belum diputuskan.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, pemain kelahiran Ghana itu masih berminat untuk menabur bakti bersama pasukan dari Terengganu selepas menolak beberapa tawaran daripada pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

“Insya Allah pemain itu hampir pasti akan beraksi di Terengganu musim depan, lagipun kita masih memerlukan khidmatnya selepas beraksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana, Liga Super dan Piala Malaysia.

“Perbincangan awal sudah dilakukan sebelum ini, cuma kini dalam proses perbincangan peringkat akhir berkaitan kontrak kerana kontrak lama bakal berakhir pada Selasa ini, namun saya tidak boleh umumkan lagi sama ada dia bakal beraksi bersama pasukan TFC ataupun TFC II.

“Tapi ianya tidak ada masalah untuk pemain itu beraksi dengan mana-mana pasukan kerana TFC II adalah pasukan ‘feeder club’ kepada TFC, apa yang penting perbincangan hampir menemui noktahnya buat pemain itu terus beraksi di Terengganu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini pemain berusia 26 tahun itu yang mula beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula musim lalu bersama pasukan TFC II menjadi buruan tiga pasukan Liga Super dan kelab luar negara yang mahukan khidmatnya musim depan.

Dengan penjelasan itu, peminat setia skuad Penyu pastinya lega apabila dapat menyaksikan bekas penjaring terbanyak Liga Filipina 2019 ketika bersama kelab Kaya FC itu beraksi di Terengganu musim 2022.

Pada aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim Inskandar Puteri, malam kelmarin, impian Mintah untuk menambah koleksi jaringan peribadinya tidak kesampaian apabila dia dikawal ketat pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun skuad Harimau Selatan itu beraksi dengan sepuluh pemain.

Berdasarkan rekod, pemain berketinggian 1.84 meter itu meledak 25 jaringan musim ini termasuk 16 gol ketika muncul pemenang Kasut Emas bersama pasukan TFC II, empat gol ketika ‘dinaikkan pangkat’ beraksi dengan pasukan TFC dan lima jaringan dalam saingan Piala Malaysia.