Hampir Pasti Ikat Ketua Jurulatih Sepanyol, Malaysia Adalah Perlawanan Kompetitif Pertama

Persatuan Bolasepak UAE kini dikatakan sudah berada diperingkat akhir untuk melantik ketua jurulatih baru skuad kebangsaan negara itu dan beberapa calon akhir telah disenarai pendek untuk mengisi kerusi panas itu.

Secara asasnya ada 3 calon akhir untuk diteliti lebih lanjut, namun 2 daripadanya dilaporkan memiliki kekuatan untuk bersaing lebih hebat merebut jawatan penting itu bagi menghadapi beberapa perlawanan yang cukup mustahak tidak lama lagi.

Bekas ketua jurulatih skuad bawah 21 Sepanyol, Luis de la Fuente serta pengurus kelab Al Dafra Vuk Rasovic adalah 2 nama yang disebut-sebut untuk mengendalikan pasukan kebangsaan UAE.

Melalui satu temu bual yang disiarkan oleh Dubai Sports, ada 12 orang jurulatih dalam senarai awal untuk dipilih oleh persatuan bola sepak negara itu dan kini hanya tidak beberapa hari sahaja lagi untuk diumumkan.

“Saya tidak pasti jika nama-nama itu adalah 4 calon terakhir, tetapi sekarang ini hanya masa yang menentukan (pemilihan). Sebelum kami memilih jurulatih, kami akan pastikan calon itu adalah yang paling sesuai dalam fasa berikutnya.

Jawatankuasa pemilihan dikatakan akan mempercepatkan pencarian pengurus baru selepas pihak AFC mengesahkan tarikh baki perlawanan pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022. Dengan berbaki 4 perlawanan, UAE kini berada dikedudukan ke-4 kumpulan G.

Skuad kebangsaan UAE bakal menerima kunjungan Malaysia pada 8 Oktober 2020, sebelum turun ke Indonesia dan akan mengakhiri kempen berdepanThailand serta Vietnam pada bulan November nanti.

“Mereka sedang mengkaji serta meneliti profil setiap jurulatih sebelum memilih mereka berdasarkan apa yang kami perlukan.”

“Nama calon yang ada sekarang telah dipersetujui oleh ahli lembaga pengarah dan telah diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan untuk berunding dengan calon yang paling sesuai. Jadi, kami kini berada dalam fasa akhir rundingan dan akan umumkan keputusan tidak lama lagi.”