Hafizal dan Shukur dinaikkan ‘pangkat’

KUALA TERENGGANU: Pertahanan Terengganu FC II (TFC II), Muhamad Hafizal Mohamad dan arkitek skuad itu, Shukur Jusoh dinaikkan ‘pangkat’ menyertai pasukan Terengganu FC (TFC) bagi memantapkan lagi pasukan itu.

Sebelum ini empat pemain daripada skuad The Turtles itu sudah membarisi skuad TFC iaitu Sharin Sapein, Haidhir Suhaini, Muhamad Mohd Fauzi dan penyerang meningkat naik, Izzan Syahmi Mustafa.

Kehadiran dua lagi pemain tonggak skuad TFC II itu bakal memberi saingan sengit kepada pemain sedia ada dalam skuad ‘abang’ itu selain pengendali sementara, Nafuzi Zain mempunyai banyak pilihan untuk menurunkan kesebelasan terbaiknya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, penyertaan dua pemain itu adalah bagi memperkasakan lagi TFC dengan aksi liga berbaki tujuh perlawanan.

“Kehadiran dua pemain itu diharapkan mampu memperkuatkan lagi TFC dalam misi mengintai kedudukan lebih baik dalam saingan liga,” katanya.

Hafizal yang beraksi di bahagian pertahanan dipanggil bagi memantapkan lagi posisi itu selepas pemain import baru kelahiran Brazil, Luis Gustavo Camilo masih belum tiba kerana masalah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Shukur yang juga bekas pemain Harimau Muda A dan skuad kebangsaan pula mempunyai pengalaman luas dan mampu membentuk gandingan mantap bersama Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov.

Mengulas perkembangan terkini Camilo, Tengku Farok menyatakan PBSNT melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih merayu dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi membolehkan pemain kelahiran Brazil itu mendapat ITC dengan segera.

“Kita harapkan pemain itu tiba dalam masa terdekat bagi membolehkannya menyertai pasukan dengan seberapa segera.

“Ketiadaan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan secara mengejut sememangnya memberi kesan kepada pasukan, namun ia satu cabaran bagi memburu kejayaan,” katanya.

Camilo yang menggantikan pemain Montenegro, Igor Zonjic yang digugurkan kerana prestasi tidak konsisten kini masih berada di negaranya dan menjalani latihan bersama kelab lamanya dalam Serie D Brazil, Ferroviaria.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *